Pengauditan Jaminan (Assurance)

Perkhidmatan kepastian melibatkan penilaian objektif juruaudit dalaman terhadap bukti-bukti bagi memberi pandangan bebas atau kesimpulan berkenaan proses, sistem atau sesuatu perkara. Lazimnya, perkhidmatan kepastian melibatkan tiga pihak iaitu:

  • Pemilik proses, sistem atau sesuatu perkara yang akan dinilai

  • Pihak penilai iaitu juruaudit dalaman

  • Individu atau kumpulan yang menggunakan hasil penilaian – pengguna

Pengauditan Dalaman

Bahagian  Audit Dalam bertanggungjawab bagi menjalankan pengauditan di semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) USIM merangkumi jenis-jenis pengauditan berikut:

Pengauditan Pengurusan Kewangan merangkumi pemeriksaan terhadap struktur, sistem kawalan dalaman dan rekod kewangan untuk menentukan sama ada kawalan pengurusan, bajet, perbelanjaan, hasil, aset dan stor telah diurus mengikut undang-undang, peraturan dan arahan yang berkaitan. 

Pengauditan operasi meliputi penilaian terhadap aktiviti sesebuah PTJ dan memeriksa penggunaan sumber-sumber  di PTJ  untuk menentukan matlamat aktiviti telah dicapai dan sumber-sumber digunakan secara ekonomi, cekap dan berkesan. Di samping itu, tajuk pengauditan dipilih berasaskan kepada aktiviti yang mempunyai isu dan masalah yang dibangkitkan oleh pihak pengurusan.  Pengauditan ini lebih menitikberatkan tentang siapa, apa, bila, kenapa dan bagaimana dalam menjalankan operasi yang efisyen dan efektif daripada hanya aspek-aspek perakaunan dan kewangan. 

Pengauditan ICT dijalankan untuk meningkatkan lagi kualiti pengurusan ICT dengan memastikan kawalan dalaman dan pematuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan.  Secara umumnya, pengauditan ini juga akan menilai sistem input, output dan kawalan pemprosesan pelan sokongan dan pemulihan, keselamatan sistem dan juga pemilihan kemudahan komputer. 

Penampilan Audit dijalankan bertujuan untuk mewujudkan kesedaran terhadap pematuhan kepada peraturan-peraturan semasa di PTJ yang kurang kerap dilawati. Audit ini dijalankan bagi memberikan pandangan dan nasihat mengenai sistem kawalan dalaman sedia ada di PTJ tersebut, seterusnya mencadangkan penambahbaikan terhadap kawalan dalaman tersebut. 

Kajian audit dijalankan terhadap aktiviti/ program/ projek/ proses bagi menentukan aktiviti/ program/ projek/ proses tersebut telah dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan mencapai objektif/ matlamat yang telah ditetapkan. 

Audit susulan dijalankan ke atas penemuan-penemuan penting yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Audit bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil oleh PTJ.  Audit susulan akan dijalankan sehingga semua penemuan-penemuan selesai dan ditutup. 

Audit Khas merupakan aktiviti pengauditan merangkumi skop pengauditan kewangan dan operasi yang bertujuan untuk memeriksa dan menyelesaikan masalah-masalah khusus di USIM.  Ia dijalankan berdasarkan arahan tugas yang diterima daripada Naib Canselor atau Jawatankuasa Audit dari semasa ke semasa.