1. Apakah maksud pengauditan?

Pengauditan bermaksud pemeriksaan, analisa dan nilaian yang berterusan dan sistematik ke atas penyata kewangan, rekod, operasi dan pentadbiran sesuatu organisasi bagi menentukan samada prinsip-prinsip am perakaunan, polisi-polisi pengurusan, peraturan dan prosedur dipatuhi.

2. Mengapa pengauditan perlu dijalankan?

Pengauditan dijalankan untuk memastikan setiap organisasi mematuhi undang-undang dan peraturan serta memastikan urus tadbir organisasi mengikut amalan pengurusan yang terbaik. Selain itu, kerja pengauditan juga akan mendedahkan faktor atau elemen yang tidak mendorong kepada kecekapan, keberkesanan, dan ekonomi berhubung dengan kewangan.

3. Apakah skop pengauditan yang terlibat?

Secara umumnya, skop pengauditan merangkumi keseluruhan aspek pengurusan di setiap organisasi termasuk kewangan, pematuhan dan prestasi. Secara khususnya, skop pengurusan yang sering diaudit ialah belanjawan, struktur organisasi & sumber manusia, belanja & terimaan, fasiliti, aset dan aktiviti teras setiap organisasi.

4. Apakah peranan setiap organisasi dalam kerja-kerja pengauditan?

Praktis semasa menunjukkan kerja-kerja pengauditan di setiap organisasi mengambil tempoh antara 4 – 5 minggu. Kerja pengauditan akan bermula selepas mesyuarat pembukaan Audit dijalankan. Antara tugas dan peranan pihak pengurusan organisasi dalam kerja-kerja pengauditan seperti berikut :

I. Menentukan tarikh mesyuarat pembukaan/penutupan Audit

II. Menentukan kehadiran dalam mesyuarat bersama pasukan Audit

III. Menyediakan ruang kerja sementara untuk pasukan Audit

IV. Menyediakan dokumen/maklumat mengikut senarai semak pasukan Audit

V. Bekerjasama dalam sesi temubual dan verifikasi aset dengan pasukan Audit

VI. Meneruskan aktiviti harian kakitangan seperti mesyuarat, latihan dan cuti

VII. Menyediakan ulasan pengurusan secara bertulis bagi laporan Audit

VIII. Menghadiri sebarang pertemuan berkenaan laporan Audit

IX. Menyediakan status tindakan bagi setiap penemuan & cadangan Audit

5. Apakah penarafan Audit yang digunakan?

Satu sistem penarafan audit sedang dibangunkan selaras dengan hasrat pihak pengurusan USIM bagi membantu menilai pencapaian dan perkembangan sesebuah organisasi. Walau bagaimanapun, bermula Oktober 2010, penarafan berdasarkan kriteria umum yang telah dikenalpasti telah diberikan untuk setiap skop pengauditan bagi menggambarkan pencapaian secara umum sesebuah organisasi yang diaudit.